Blog Hartanah

Tips Dan Perkongsian Berkenaan Hartanah

Ejen Hartanah

Terjebak Membeli Rumah Idaman

 
Terjebak Membeli Rumah Idaman
================================
 
Teman ingin kongsikan satu pengalaman pelanggan yang telah beli rumah di Semenyih jenis Landed.
 
Client teman ini bekerja di Putrajaya dan sekarang ini berulang alik dari semenyih ke Putrajaya dalam 40- 50 minit  untuk satu perjalanan.
 
Bila sudah berumur dan anak membesar ini, rasa dah mula penat dan susah bila anak mula bersekolah.
 
Oleh itu, beliau membuat keputusan untuk jual rumah dan mencari rumah yang lebih dekat daripada tempat kerja
 
Ketika muda memang kita fikir tiada masalah untuk berulang alik ke tempat kerja. Tetapi bila dah mempunyai keluarga dan anak-anak, baru kita sedar rumah terbaik selalu berada dekat di tempat kerja. 
 
Senang untuk kita uruskan anak-anak sekolah dan kita pun tidak perlu membuang masa sehari dalam 2 jam travel pergi dan balik kerja. Banyak masa terbuang.
 
Oleh itu, pelanggan teman memerlukan konsultasi apa yang terbaik untuk masa sekarang sama ada jual rumah  dan cari tempat baru atau membuat refinance kembali untuk sediakan  deposit untuk beli rumah baru dengan pinjaman kerajaan memandangkan perbelanjaan bulanan yang agak ketat sekali.
 
Rata-rata memang begitu, memandangkan komitmen rumah sahaja dah hampir 50% pendapatan sebulan. Oleh itu, untuk membeli rumah lain agak sukar sedikit kalau tiada jalan yang sesuai.
 
Walaupun pada asalnya, pelanggan teman nak jual rumah di Semenyih, teman sediakan beberapa pilihan untuk beliau mencapai objektif beliau. Walaupun bagi teman, sebenarnya kalau jual rumah itu lagi senang dan teman pun boleh dapat komisyen.
 
Cumanya, beliau masih lagi sayang akan rumah di semenyih dan merancang kemungkinan bila pencen nanti beliau dapat menetap semula di Semenyih.
 
Agak teknikal untuk teman terangkan cara-cara terbaik. Tetapi teman jelas secara ringkas pilihan yang beliau ada.
 
1) Jual rumah tersebut. Dijangkakan beliau ada lebihan duit jualan rumah pertama dalam sekitar RM100,000  dan boleh menggunakan duit tersebut untuk deposit rumah yang berdekatan tempat kerja dengan menggunakan pinjaman kerajaan.
 
2) Refinance rumah tersebut di mana lebih tersebut boleh digunakan untuk membeli rumah berdekatan di tempat kerja dengan menggunakan pinjaman kerajaan. Beliau juga akan menyewakan rumah di semenyih untuk tampung perbelanjaan beliau selepas itu dan  sewaan  tersebut cukup untuk beliau tampung rumah kedua dengan pinjaman kerajaan.
 
* Pinjaman kerajaan tidak mengira kadar komitmen semasa
 
Namun begitu, beliau masih lagi tidak dapat membeli rumah kedua yang lebih besar daripada rumah pertama kerana rumah kawasan tempat kerja adalah jauh lebih mahal. Bila di kira kembali hanya mampu untuk beli rumah teres setingkat berbanding rumah teres dua tingkat nya di Semenyih.
 
Memandangkan, kos untuk berulang alik ke tempat kerja adalah lebih mahal dan masa banyak terbuang. Beliau membuat keputusan untuk beli saja rumah berdekatan tempat kerja berbanding rumahnya yang jauh daripada tempat kerja.
 
Di sini kita dapat lihat, kriteria penting yang selalu orang muda lupakan untuk membeli rumah adalah:
 
1) Tempat Kerja- Kalau dekat banyak masa dan wang boleh dijimatkan. Tiada tol dan kurang duit minyak dan dianggarkan kalau berulang alik daripada Semenyih ke Putrajaya boleh mencecah RM450-RM500 sebulan. Manakala dari segi masa beliau telah rugi 32 jam sebulan. kalau setahun anda telah rugi 32 hari. Wow
 
2) Sekolah anak-anak- Agak susah sebenarnya kalau anak sekolah kawasan perumahan. Bila berlaku kecemasan, kita terpaksa meminta pelepasan kerja dan patah balik ke sekolah anak-anak. Oleh itu, ramai ahli keluarga yang duduk di luar putrajaya merayu untuk memohon anak-anak bersekolah di Putrajaya. Disebabkan pelbagai kekangan nanti kalau anak sekolah jauh daripada tempat kerja.
 

Oleh itu, ramai teman tengok kita tersilap perancangan membeli rumah idaman yang jauh di tempat kerja walaupun rumah itu kita sendiri pun tak nak duduk disebabkan kekangan di atas.

Bila dibiarkan kosong rumah pun akan rosak, kalau disewakan pun banyak yang perlu kita top up untuk pembayaran bulanan pinjaman. Oleh itu, selalunya kita dilema untuk merancang pelaburan seterusnya dan kebanyakan kita tersekat di situ dan susah untuk mencari jalan keluar.

Oleh itu, harap orang muda boleh mengambil iktibar daripada perkongsian ini. Mungkin rumah kecil lebih baik daripada landed bila kita fikirkan situasi di atas. Memang betul kalau teman sendiri pun nak rumah landed yang lebih selesa. Tetapi bila fikir balik faktor masa dan wang, mungkin kita boleh beli rumah mampu milik yang berdekatan tempat kerja.

Apa pun merancang untuk membeli rumah idaman adalah sangat sukar kerana sekali anda terjebak membeli rumah idaman yang bukan rumah yang anda mahukan, anda akan terjebak 30-35 tahun dan anda rugi dari segi masa dan wang ringgit.

Anda rasa pelanggan teman pilih yang mana? 

Jum kita bincangkan untuk pedoman bersama. 

 

Kongsikan artikel ini
Scroll to Top